BeritaMenarik

Jualan murah dapat sambutan rakyat

SEREMBAN: Keterjaminan bekalan makanan ruji dan program jualan murah seperti Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah dan Jualan Negeri Sembilan Prihatin antara pertanyaan di Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-15 dari 3 April hingga 9 April lalu.

Isu jualan murah dibangkitkan oleh ADUN Johol, Lenggeng, Seri Menanti, Gemencheh, Juasseh, Bagan Pinang dan Gemas.

Exco (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Pertang) berkata, apabila melihat trend tempoh jualan Nismilan Prihatin yang selesai dengan pantas iaitu sekitar satu jam pengoperasi jualan, ini menunjukkan bahawa program jualan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari rakyat.

“Pun begitu, pihak jabatan berkaitan sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan penambahbaikan pelaksanaan jualan ini dari semasa ke semasa.

“Malah, semua cadangan dan pandangan wakil rakyat di dalam dewan telah dicatatkan dengan teliti dan akan diperhalusi bagi pelaksanaan program jualan yang akan datang,” ujar Jalaluddin.

Sementara itu, berkaitan kos yang terlibat, secara keseluruhannya barangan yang dijual ini akan ditawarkan pada harga 20 hingga 30 peratus lebih murah dari harga pasaran melalui kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

“Sebagai contoh, minyak masak yang berharga RM2.50/paket di pasaran runcit, dijual pada kadar RM2/paket semasa Jualan Nismilan Prihatin.

“Telur ayam yang berharga RM12.50/papan bagi purata semua gred di pasaran runcit, dijual pada kadar RM10/papan,” jelas beliau.

Jalaluddin berkata, peruntukan Jualan Nismilan Prihatin sebanyak RM3 juta telah diagihkan kepada dua jabatan utama iaitu Jabatan Pertanian sebanyak RM1.5 juta dan Jabatan Veterinar sebanyak RM1 juta.

“Ini ialah kerana jabatan-jabatan ini yang menguruskan serta menjalankan perolehan barangan yang dijual seperti minyak paket, ayam, telur dan beras.

“Manakala baki RM500,000 adalah sebagai kontigensi sekiranya peruntukan tidak mencukupi, yang mana akan diagihkan kepada jabatan-jabatan yang berkenaan apabila ada keperluan.

“Secara purata, sebanyak RM236,000 dibelanjakan bagi pelaksanaan program di 32 lokasi jualan setiap bulan untuk membuat pembelian barangan jualan termasuk kos logistik,” kata Jalaluddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button