Berita

AKPS agensi tunggal selaras operasi kawalan di pintu masuk negara

SEPANG: Kerajaan Persekutuan telah mewujudkan sebuah agensi baharu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof berkata, penubuhan AKPS selari dengan hasrat kerajaan ke arah pembentukan sebuah agensi tunggal di pintu-pintu masuk negara.

“Ia menandakan komitmen kerajaan MADANI yang tidak berbelah bahagi dalam mewujudkan rangka kerja kawalan sempadan yang lancar dan cekap.

“AKPS akan berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi pintu-pintu di seluruh negara, sama ada lapangan terbang, sempadan darat dan pelabuhan.

“Kita ingin melihat perubahan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di pintu masuk, proses kerja yang lebih mudah dan ringkas.

“Karenah birokrasi boleh diminimumkan dengan tiada lagi fungsi-fungsi yang bertindih antara agensi.

“Ini sangat penting agar lapangan terbang dan pintu masuk ke negara kita lebih berdaya saing, memudahkan serta memberikan pengalaman pertama yang mengesankan kepada pelawat yang berkunjung ke negara ini,” jelas Fadillah.

Fadillah berkata, penubuhan AKPS ditunjangi oleh lima objektif utama.

Pertama untuk menyatukan pelbagai fungsi penguatkuasaan sempadan di bawah satu chain of command.

Sebelum ini, pengurusan sempadan di Malaysia melibatkan pelbagai agensi yang melaksanakan pelbagai fungsi seperti urusan perkastaman, imigresen, kuarantin dan banyak lagi yang sering membawa kepada kekeliruan, pertindihan tugas dan halangan komunikasi.

“Dengan menyatukan pelbagai fungsi utama secara bersepadu di bawah tanggungjawab sebuah agensi, Malaysia mampu mewujudkan pendekatan yang terselaras untuk pengawalan sempadan yang efektif.

“Kedua, bagi memudahkan aktiviti perdagangan dan perjalanan. Malaysia adalah pintu masuk utama ke rantau ini, dan pintu masuk negara kita memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan pelancongan.

“Dengan memudahkan prosedur dan meminimumkan masa menunggu, perkhidmatan yang kita berikan akan meningkatkan pengalaman yang baik untuk pengembara dan perniagaan, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan kita sebagai pemain yang berdaya saing di arena global,” ujar beliau.

Fadillah menambah, objektif ketiga adalah memperkukuh aspek keselamatan.

“Dalam kita mengalu-alukan pelawat dan barangan dari seluruh dunia, kita juga harus berwaspada dalam menjaga negara kita.

“AKPS akan melaksanakan teknologi canggih dan amalan perkongsian data untuk memperkukuh rangka kerja keselamatan di setiap inici sempadan negara.

“Dengan peningkatan keupayaan untuk mengenal pasti dan mengurangkan potensi ancaman, akan memastikan bahawa sempadan kita kekal selamat dan rakyat kita selamat,” katanya.

Menurut Fadillah, objektif keempat untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan.

“Komitmen terhadap perkhidmatan yang cemerlang adalah yang terpenting.

“AKPS akan mengutamakan latihan dan pembangunan sumber manusia, memastikan mereka serba lengkap, profesional, dan bersedia untuk membantu pelancong dan peniaga, yang mencerminkan Malaysian Hospitality sambil mengekalkan standard keselamatan pada tahap tertinggi,” ujarnya.

Fadillah berkata, objektif kelima sebagai perlindungan dan keselamatan sempadan negara meliputi domain udara, laut dan darat melalui kolaborasi bersepadu bersama agensi-agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Saya percaya dengan kolaborasi padu ini akan memperkukuh keselamatan dan kedaulatan sempadan negara Malaysia.

“Kerajaan juga bersedia untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan sistem dan kaedah baharu dalam usaha meningkatkan keupayaan pengurusan sempadan negara.

“Ini kerana keperluan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) adalah sangat kritikal terutama dalam strategi kawalan sempadan negara.

“Penggunaan teknologi AI dalam kawalan pintu masuk dan sempadan melalui sistem dan aplikasi terkini secara optimum akan membantu pegawai-pegawai di pintu masuk memantau, menilai, merancang dan menguatkuasakan tindak balas sebarang bentuk ancaman dan cabaran.

“Sebagai contoh, penyelarasan dan analisis data dari kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas barangan di pintu masuk yang dilengkapi teknologi AI akan mempertingkatkan keupayaan para pegawai dalam membangunkan analisis risiko di pintu masuk,” jelas Fadillah lagi.

Fadillah menambah, pendekatan proaktif ini boleh membantu agensi seperti AKPS memintas potensi ancaman sebelum ia berlaku, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan secara keseluruhan di pintu masuk dan sempadan negara.

“Selain itu, data yang dipacu dengan algoritma lanjutan AI, contohnya facial recognition dan intelligent document processing akan membantu memperkemas proses pemeriksaan orang dan barangan oleh pegawai.

“Senario ini secara langsung akan memastikan proses pelepasan barangan yang berisiko rendah dapat dipercepatkan.

“Perkara ini sangat penting bagi meningkatkan daya saing pelabuhan-pelabuhan dan terminal-terminal kargo negara,” kata beliau.

Fadillah menjelaskan inisiatif AKPS ini juga penting terutama dalam konteks Pengerusi Asean 2025.

“Dengan meningkatkan keupayaan kawalan sempadan, kita bukan sahaja menjaga kedaulatan malah memudahkan pergerakan supaya lebih lancar merentasi sempadan dalam rantau ASEAN.

“Ini penting kerana kita berusaha ke arah Asia Tenggara yang lebih terhubung dan makmur.

“Selain itu, dalam kita membuat persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, AKPS memainkan peranan penting dalam memastikan sempadan kita mesra dan cekap.

“Dengan memperkemas proses dan meningkatkan perkhidmatan di pintu masuk, kita akan menjelmakan ‘first impression’ yang positif untuk pelawat yang datang ke negara kita,” katanya.

Fadillah berkata demikian di Majlis Peluncuran AKPS di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Show More

Related Articles

Back to top button