JAKOA Nafi Sekat Kemasukan Pihak Luar Ke Kampung Orang Asli
SEREMBAN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menyekat kemasukan pihak luar ke perkampungan Orang Asli tanpa asas yang munasabah adalah tidak benar sama sekali.
Menurut JAKOA, pihaknya sentiasa komited melaksanakan tadbir urus yang inklusif dan terbuka melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk NGO sektor korporat, agensi kerajaan serta institusi akademik.
“Bagi tahun 2025, sebanyak 395 daripada 415 permohonan (95 peratus) telah diluluskan, manakala hanya 20 permohonan ditolak berikutan tidak mendapat persetujuan institusi Tok Batin atau Penghulu.
“Dan bagi tahun 2026 setakat ini, sebanyak 255 daripada 259 permohonan (98 peratus) turut diluluskan melibatkan 183 program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan 72 lawatan akademik” katanya.
Tambahnya, kerjasama berkenaan penting dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan kelestarian komuniti Orang Asli selaras dengan prinsip “No One Left Behind” di bawah kerangka Matlamat Pembangunan Lestari 2030 Sustainable Development Goals (SDG) 2030.
JAKOA menjelaskan bahawa prosedur kelulusan bertulis oleh Ketua Pengarah bukan bertujuan mewujudkan halangan birokrasi, sebaliknya merupakan mekanisme tadbir urus terbaik bagi memastikan setiap aktiviti mematuhi prinsip Free, Prior and Informed Consent (FPIC), selain mendapat persetujuan institusi Tok Batin atau Penghulu.
“Kami menjelaskan bahawa rekod rasmi ini menunjukkan majoriti permohonan yang diterima telah diluluskan.
“Pelaksanaan prosedur itu penting bagi memastikan aspek akauntabiliti dan pengurusan risiko, termasuk keselamatan pelawat serta komuniti sekiranya berlaku insiden luar jangka” katanya.
Menurutnya, ia turut berfungsi sebagai langkah biosekuriti bagi melindungi kesihatan komuniti pedalaman daripada risiko penularan penyakit, selain menjaga integriti data serta pemeliharaan budaya daripada unsur eksploitasi dan biopiracy.
Akan tetapi permohonan boleh tidak dipertimbangkan sekiranya terdapat faktor yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan komuniti termasuk unsur eksploitasi kandungan, penyebaran fahaman tidak sesuai atau gangguan terhadap keharmonian institusi kepimpinan adat setempat.
Dalam pada itu, JAKOA menegaskan bahawa pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan terus diperkukuh melalui kerjasama profesional, saling menghormati serta pematuhan terhadap tatacara sedia ada selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta 134.



