SEREMBAN: Usaha peralihan tenaga negara perlu dilaksanakan secara lebih inklusif, terancang dan berimpak tinggi bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat tanpa mengabaikan keseimbangan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, agenda peralihan tenaga bukan sekadar perubahan dasar, sebaliknya satu transformasi menyeluruh yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk industri, sektor swasta dan komuniti.
“Pendekatan menyeluruh itu penting bagi mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu serta memperkukuh infrastruktur utiliti negara agar lebih cekap, berdaya tahan dan mesra alam.
“Peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara inklusif, terancang dan berfokus agar manfaatnya dapat dirasai rakyat tanpa mengabaikan keseimbangan ekonomi dan alam sekitar,” katanya dalam satu hantaran media sosial hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang turut merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menegaskan bahawa agenda berkenaan turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi hijau yang lebih kompetitif.
Ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai peneraju tenaga mampan di rantau ASEAN.
Menurutnya, usaha tersebut selari dengan komitmen negara dalam menangani cabaran perubahan iklim serta memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang.