BeritaMenarik

Jasa besar raja-raja Melayu wajib dipertahankan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Port Dickson, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sebagai salah seorang penggubal dasar negara, beliau menolak jika ada di kalangan ahli dewan yang cuba menjadi jaguh suci dengan mendakwa perlembagaan negara ini adalah bayangan penjajah british yang menipu umat Islam dengan tidak sekali-kali mahu memberi kuasa kepada Islam.

“Apakah kita lupa bahawa Malayan Union dibubarkan selepas British akur kepada penentangan orang-orang Melayu?

“Dalam tempoh 10 tahun sebelum Tanah Melayu Merdeka, kita dapat lihat dalam catatan sejarah bahawa
Pelembagaan Pesekutuan Tanah Melayu telah melalui pelbagai siri penambahbaikkan mengikut acuan leluhur bangsa Melayu Islam yang dikepalai oleh Raja-Raja Melayu ketika itu.

“Jasa besar Raja-Raja Melayu yang wajib kita pertahankan hari ini adalah kerana dengan kuasa mauafakat Raja-Raja Melayu, tiga isu utama yang berkait dengan hak Melayu Islam dapat dikekalkan sehingga hari ini iaitu kedudukan keistimewaan orang melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” ujar Aminuddin.

Menurut Aminuddin lagi, Hakim Abdul Hamid (salah seorang ahli Suruhanjaya Reid yang berasal dari Pakistan) juga mempunyai jasa besar yang telah menyediakan nota tersendiri yang berasingan dari ahli-ahli Suruhanjaya yang lain dan berjaya meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan Tanah Melayu.

“Maka, seperti mana isu pertikaian perlembagaan yang berlaku baru-baru ini, ditambah dengan teguran DYMM Sultan Selangor ke atas salah seorang ahli dewan rakyat, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita kembali kepada perkara asas dalam perlembagaan dan menolak segala doktrin salah yang telah tersebar sejak tahun 1980an.

“Saya begitu hairan, bagaimana seorang yang telah menjadi ahli dewan rakyat lebih empat penggal, tetapi masih tidak memahami tugas sebagai ahli dewan rakyat dan peranan utama sebagai penggubal undang-undang negara.

“Sedangkan, ketika kita mengangkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat, melafazkan janji taat setia kepada negara dan akan mempertahankan Perlembagaan Negara.

“Jangan kita jadi seperti yang disebut oleh peribahasa Melayu, ‘Beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh’ (Orang yang sombong besar, cakap tak berisi),” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian pada sesi ucapan perbahasan Perasmian Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Selasa.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button