Mahkamah tetap pendengaran permohonan DKU Negeri Sembilan pada 7 dan 8 Julai

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban telah menetapkan 7 dan 8 Julai depan untuk mendengar beberapa permohonan yang difailkan dalam prosiding Saman Pemula No. NA-24NCvC-240-05/2026 membabitkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU).
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, tarikh tersebut ditetapkan semasa sesi pengurusan kes yang berlangsung pada 18 Jun lalu.
Menurut beliau, antara permohonan yang akan didengar ialah permohonan plaintif-plaintif untuk mengetepikan injunksi ad interim yang sedang berkuat kuasa serta permohonan berkaitan pelucutan peguamcara dan kaunsel yang mewakili DKU.
“Pada pengurusan kes yang diadakan pada 18 Jun 2026, Mahkamah Tinggi telah menetapkan pendengaran permohonan-permohonan Plaintif-Plaintif untuk mengetepikan injunksi ad interim dan pelucutan peguamcara dan kaunsel DKU pada 7 dan 8 Julai 2026,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa DKU dan beliau sendiri telah memfailkan permohonan kedua bagi penghinaan Mahkamah terhadap kesemua plaintif dalam kes tersebut.
“DKU dan saya juga telah memfailkan permohonan kedua untuk penghinaan mahkamah terhadap kesemua plaintif-plaintif, yang turut ditetapkan untuk pendengaran pada 7 dan 8 Julai 2026,” katanya.
Raja Norazli menjelaskan bahawa injunksi ad interim yang diperoleh sebelum ini masih kekal berkuat kuasa dan terus dikuatkuasakan sehingga terdapat perintah lanjut daripada mahkamah.
Beliau berkata, perintah itu antara lain menghalang plaintif-plaintif daripada mengadakan atau menyertai sebarang mesyuarat yang menggelarkan dirinya sebagai mesyuarat DKU, mengganggu fungsi Setiausaha DKU, menubuhkan jawatankuasa atau badan yang bertindak bagi pihak DKU, serta mengambil sebarang keputusan berkaitan pentadbiran dan tadbir urus DKU.
“Pihak-pihak oleh itu hendaklah mematuhi perintah-perintah injunksi ad interim tersebut dan tidak mengambil apa-apa langkah yang bertentangan dengan terma-terma perintah-perintah tersebut,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata DKU tidak akan mengulas lanjut mengenai merit kes memandangkan perkara itu masih dalam prosiding mahkamah dan tertakluk kepada prinsip sub judice.
“Memandangkan perkara ini sedang dalam prosiding Mahkamah dan bersifat sub judice, DKU dan saya tidak akan mengulas mengenai merit-merit perkara ini,” katanya.
Menurut beliau, DKU akan terus menghormati proses perundangan yang sedang berjalan serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah.
“DKU menegaskan penghormatan sepenuhnya terhadap kewibawaan Mahkamah dan proses undang-undang, serta akan terus mematuhi segala perintah Mahkamah,” katanya.



