Mangsa kebakaran terima bantuan kewangan daripada Rajasekaren
SRI TANJUNG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, P.Rajasekaren, telah menziarahi dua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Taman NLFCS untuk memberikan sokongan moral dan bantuan segera kepada mangsa.
“Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Port Dickson yang memberikan bantuan awal bagi mengurangkan bebanan mangsa.
“Saya juga menyerahkan sumbangan kewangan kepada dua keluarga ini dan semoga sumbangan ini mengurangkan beban yang ditanggung,” kata Rajasekaren.
Sementara itu, Rajasekaren berkata beliau juga telah mengambil tindakan segera terhadap aduan awam mengenai masalah saliran air longkang yang menyebabkan gangguan kepada penduduk dan memohon kejuruteraan Majlis Perbandaran Port Dickson segerakan kerja-kerja baik pulih.
Dalam pada itu, bagi usaha untuk memastikan kebersihan dan kesejahteraan kawasan Jeti Penumpang Port Dickson, Rajasekaran beliau telah meminta Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson membersihkan sampah sarap dan semak samun yang memberi kesan negatif kepada pelancong dan penduduk setempat.
“Selain itu, saya juga telah menangani isu hakisan tanah di kawasan Rumah Rakyat Kampung Paya.
“Saya telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran Port Dickson mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah tersebut demi kesejahteraan penduduk,” jelas Rajasekaren.