Memperkasa saringan awal kanser prostat: Dari data ke tindakan

Kanser prostat kini merupakan kanser ketiga paling lazim dalam kalangan lelaki di Malaysia dengan 2,360 kes baharu dilaporkan pada tahun 2022.
Malangnya, hampir 60 peratus pesakit dikesan lewat pada peringkat ketiga atau keempat, menjadikan peluang rawatan berkesan semakin tipis.
Hari ini saya menerima taklimat daripada pakar-pakar Universiti Malaya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai cadangan dasar baharu untuk menangani isu ini.
Antara syor utama ialah pelaksanaan program saringan bersasar untuk kumpulan berisiko tinggi, pengukuhan kapasiti urologi, dan peningkatan kesedaran awam melalui kempen nasional.
Saya dimaklumkan Malaysia hanya mempunyai 4.42 pakar urologi bagi setiap sejuta penduduk; angka yang jauh dari mencukupi jika kita ingin meningkatkan kadar pengesanan awal.
Justeru, reformasi sistemik diperlukan bagi mengelak kos rawatan yang tinggi akibat diagnosis lewat.
Saya hargai sumbangan semua yang hadir termasuk Naib Canselor Universiti Malaya, pakar urologi dan onkologi, serta wakil pesakit seperti Encik Wong Kuan Sing.
KKM akan teliti syor ini dengan serius demi membina sistem saringan kanser prostat yang lebih cekap, adil dan berkesan.
Dr.Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan