Negeri Sembilan mengoptimumkan penggunaan tanah bagi memastikan sektor pertanian berkembang maju

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk memastikan sektor pertanian turut berkembang maju dan berdaya saing, seterusnya menyumbang secara signifikan kepada keterjaminan makanan serta ekonomi negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, usaha berterusan meliputi pemodenan pertanian melalui penerapan teknologi canggih seperti sistem pertanian pintar.
“Pada masa yang sama, penggunaan tanah dioptimumkan bagi meningkatkan hasil tanaman yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
“Selain itu, kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dan institusi penyelidikan terus diperkukuh bagi memacu inovasi dan menarik minat generasi muda dalam bidang agroteknologi,” ujar beliau.
Aminuddin berkata, berdasarkan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025, Kerajaan Negeri menggariskan kepentingan sektor pertanian melalui strategi Bab 6: Melonjak Pertanian dan Industri Makanan.
“Berpandukan kepada strategi tersebut, kerajaan negeri telah meletakkan sektor pertanian sebagai tumpuan utama dalam RPNS 2021–2025 melalui pelaksanaan konsep Agropolis.
“Pendekatan ini memfokuskan kepada transformasi dan modenisasi pertanian, dengan memberi penekanan kepada dua fokus utama iaitu peningkatan tahap sara diri makanan (Self-Sufficiency Level – SSL) dan Pengukuhan aktiviti pertanian bernilai tinggi.
“Usaha ini akan melibatkan peningkatan keupayaan pengeluaran, pengembangan tanaman organik dan berasaskan Amalan Pertanian Baik (MyGAP), serta peralihan kepada teknologi pengeluaran moden.
“Selain itu, aspek pembangunan jaringan industri, perlindungan hasil, serta peningkatan penglibatan golongan muda dan tenaga mahir turut menjadi keutamaan,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Sembilan, anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Lexis Hibiscus, Port Dickson