Negeri Sembilan mempunyai kelebihan tarik pelancong premium dan berpendapatan tinggi

JAKARTA: Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon mengadakan pertemuan berasingan bersama pengusaha pelancongan Indonesia iaitu Dwidayatour dan Baltic Golf and Travel Specialist sempena Tourism Malaysia Sales Mission di Jakarta baru-baru ini.
Lawatan tersebut disertai sebagai sebahagian daripada delegasi rasmi Malaysia yang diketuai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tiong King Sing.
Menurut Nicole, pertemuan itu bertujuan membincangkan usaha memperluaskan pasaran pelancong Indonesia ke Malaysia termasuk pembangunan produk pelancongan premium dan pelancongan berasaskan pengalaman.
“Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran sumber pelancong utama bagi Malaysia dan masih mempunyai ruang pertumbuhan yang sangat besar,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan data yang dikongsikan, Malaysia menerima kira-kira 42.2 juta pengunjung pada tahun 2025 dengan sekitar 4.3 juta pelawat dari Indonesia, menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa usaha promosi dan pemasaran perlu terus diperkukuhkan bagi meningkatkan daya tarikan serta kadar penembusan pasaran antara kedua-dua negara.

Dalam pertemuan itu, Nicole turut memperkenalkan identiti unik Negeri Sembilan termasuk menyampaikan cenderamata istimewa “Bunga Lado” sebagai simbol warisan budaya dan kreativiti tempatan negeri berkenaan.
“Negeri Sembilan mempunyai potensi besar dalam pelancongan budaya memandangkan hubungan sejarah yang amat rapat antara Negeri Sembilan dan Sumatera melalui warisan Adat Perpatih yang masih diamalkan sehingga hari ini.
“Hubungan sejarah, budaya dan kekeluargaan tersebut memberikan nilai tambah yang istimewa kepada Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan budaya bagi pasaran Indonesia,” kata Nicole.
Selain warisan budaya, Nicole berkata Negeri Sembilan juga mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan golf dan pelancongan membeli-belah menerusi kewujudan pelbagai padang golf berkualiti serta lokasi strategik berhampiran Kuala Lumpur dan KLIA.
“Negeri Sembilan mempunyai kelebihan untuk menarik segmen pelancong premium dan berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan potensi pelancongan membeli-belah melalui produk unik Negeri Sembilan termasuk kraftangan tempatan, produk warisan, gastronomi negeri serta identiti budaya seperti seni bina atap panjang, caklempong dan kebaya setengah tiang.
“Pihak Dwidayatour memaklumkan komitmen mereka untuk memperluaskan jualan dan promosi produk pelancongan Malaysia melalui rangkaian meliputi 26 bandar di seluruh Indonesia dengan kira-kira 57 cawangan langsung serta platform dalam talian.
“Mereka juga melihat potensi besar dalam pakej perjalanan berbilang destinasi dengan tempoh perjalanan fleksibel antara tiga hingga tujuh hari bagi memenuhi citarasa pelancong Indonesia yang semakin mementingkan pengalaman pelancongan pelbagai dan berkualiti.
“Selain itu, pendekatan promosi seperti jerayawara, lawatan pengenalan (fam trip) dan kempen media sosial turut dibincangkan sebagai strategi memperluaskan capaian pasaran Indonesia.
“Dalam sektor pelancongan premium pula, Baltic Golf dan Travel Specialist menjelaskan bahawa segmen pelancongan golf melibatkan pelancong berpendapatan tinggi yang lazimnya mempunyai tempoh penginapan lebih panjang serta kuasa perbelanjaan lebih tinggi,” jelas Nicole.
Menurut Nicole, Malaysia yang mempunyai lebih 200 padang golf dilihat mempunyai asas kukuh untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan golf serantau yang kompetitif dan bernilai tinggi.
“Saya yakin hubungan dan jaringan strategik yang dibina melalui Tourism Malaysia Sales Mission di Jakarta ini akan membantu memperkukuhkan kedudukan Malaysia dan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan serantau yang semakin berkembang dan berdaya saing sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan Visit Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuhkan sektor pelancongan, seni dan budaya melalui slogan ‘Jom Teghojah Nismilan’ dan ‘Unique N9’.




