SEREMBAN: Rata-rata golongan siswazah yang ditemui meletakkan harapan agar Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2025 memberikan bantuan kewangan kepada siswazah yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master).
Eryna Lee Hue Rong, kelulusan Ijazah Perguruan (Pengkhususan Bahasa Melayu) dari Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kuala Lumpur berkata, beliau meletakkan harapan agar Kerajaan Negeri memperkenalkan bantuan awal pendidikan kepada siswazah yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.
“Kalau boleh saya harap Yayasan Negeri Sembilan (Kerajaan Negeri) membantu siswazah yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.
Muhammad Najmi Mustaffa, kelulusan Ijazah Perguruan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia, Bangi juga berharap sekiranya Kerajaan Negeri Sembilan memberikan bantuan kewangan kepada siswazah menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.
“Saya berharap ada bantuan awal kepada pelajar yang sambung belajar ke peringkat Ijazah Sarjana kerana walaupun jumlahnya mungkin sedikit tetapi sedikit sebanyak ia akan membantu untuk menampung kos awal pengajian dan mencetus semangat untuk belajar dengan lebih cemerlang,” kata Charvini Uthaya Kumar, siswazah dalam bidang Perbankan dari Universiti Utara Malaysia, Kedah.
Eryna Lee, Muhammad Najmi dan Charvini ditemui ketika Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Siri 4 Tahun 2024 di Klana Resort.
Tiga siswazah ini dan 167 lagi penerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan telah menerima insentif wang tunai bernilai RM5,000 seorang dan keseluruhan berjumlah RM850,000 sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan.
Mereka menerima sumbangan kewangan ini daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Penerima adalah mereka yang terdiri daripada graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama semasa tamat pengajian di institusi masing-masing.