Negeri Sembilan utamakan kontraktor kecil, pastikan peluang tidak dimonopoli

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan pendekatan lebih seimbang dalam pelaksanaan projek penyenggaraan jalan di bawah peruntukan MARRIS dengan memberi keutamaan kepada kontraktor kecil tempatan, sekali gus memastikan peluang ekonomi diagihkan secara inklusif dan tidak dimonopoli pihak tertentu.
“Kerajaan Negeri telah melaksanakan lebih 4,600 kerja undi dengan nilai keseluruhan melebihi RM450 juta kepada kontraktor G1 tempatan.
“Ini bukan sekadar angka — ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri konsisten membuka peluang ekonomi kepada rakyat secara inklusif dan tersusun.
“Jika dibandingkan dengan pendekatan di beberapa negeri lain yang lebih menumpukan projek kepada kontraktor berskala besar, Negeri Sembilan memilih pendekatan yang lebih seimbang — kita membina ekonomi dari bawah, kita hidupkan kontraktor kecil, dan kita pastikan peluang tidak dimonopoli.
“Inilah kekuatan model Negeri Sembilan – peluang diagih, bukan dikuasai,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian, semasa Program Cabutan Kerja Undi Fasa 2 Tahun 2026 Penyenggaraan Jalan di bawah Peruntukan MARRIS Negeri Sembilan ke-15 secara hybrid (fizikal dan live streaming@fb) di Wisma Negeri.
Dalam pada itu Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri tidak hanya aktif melaksanakan projek, tetapi turut membuktikan keupayaan dalam mengurus dan membelanjakan peruntukan secara cekap dan berkesan.
“Sebagai contoh, prestasi perbelanjaan MARRIS Negeri Sembilan pada tahun 2025 telah mencapai 102 peratus bersamaan RM405.6 juta — satu pencapaian yang mencerminkan kecekapan pentadbiran dalam memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan sepenuhnya.
“Dalam banyak keadaan, cabaran sebenar bukan sekadar mendapatkan peruntukan, tetapi keupayaan untuk melaksanakan dan mengurusnya dengan berintegriti dan berkesan.
“Dan dalam aspek ini, Negeri Sembilan telah menunjukkan prestasi yang kompetitif — malah setanding dengan negeri-negeri yang lebih besar,” jelas Aminuddin.




