Berita

TDM Naikkan Had Umur Kemasukan Perajurit Muda kepada 30 Tahun

PORT DICKSON: Tentera Darat Malaysia (TDM) melonggarkan beberapa syarat pengambilan anggota termasuk menaikkan had umur kemasukan kepada 30 tahun berbanding 25 tahun sebelum ini bagi membuka peluang lebih luas kepada rakyat menyertai perkhidmatan itu.

Menurut, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, penambahbaikan syarat itu turut melibatkan pengurangan ketinggian minimum lelaki kepada 1.57 meter, memberi peluang kepada calon berkaca mata dengan tahap penglihatan minimum 6/12 serta meningkatkan had Indeks Jisim Badan (BMI) sehingga 28.0.

“Walaupun syarat diperluaskan, setiap calon tetap perlu melalui proses penilaian dan latihan ketat bagi memastikan standard Tentera Darat terus terpelihara,” katanya dalam ucapan sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205/25 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, hari ini.

Azhan berkata Tentera Darat turut merancang membuka pengambilan Perajurit Muda Wanita pada Julai 2026 melibatkan anggaran 350 pengambilan baharu yang akan memberi fokus kepada bidang kepakaran tertentu bagi menyokong keberkesanan operasi dan kesiapsiagaan organisasi.

 

Manakala, seramai 1,236 Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 205/25 berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan selepas menjalani latihan bermula 25 November 2025 hingga 18 Mei 2026 sebelum diserap ke dalam Kor dan Rejimen mengikut kepakaran masing-masing.

Menurut Azhan, latihan tersebut dirangka sebagai platform asas dalam membentuk anggota tentera yang berpengetahuan, berkemahiran serta berdaya saing bagi memenuhi keperluan operasi semasa dan masa hadapan.

“Sepanjang tempoh latihan, para pelatih didedahkan dengan pelbagai modul merangkumi pembentukan karakter dan kepimpinan, pengetahuan asas ketenteraan, latihan jasmani, pengendalian senjata, kemahiran medan perang serta pengukuhan nilai spiritual dan moral.

“Seiring transformasi Tentera Darat, kita komited melahirkan ‘Thinking Soldiers’ iaitu anggota yang bukan sahaja cergas secara fizikal tetapi mempunyai keupayaan berfikir secara kritikal, membuat keputusan pantas dan bertindak secara efektif dalam persekitaran operasi kompleks,” katanya.

Keseluruhan jumlah perajurit muda itu, terdapat dua graduan berkelulusan ijazah dan 51 pemegang diploma, majoritinya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan, yang memilih untuk menyertai perkhidmatan Tentera Darat.

Pengagihan perajurit muda akan dilakukan secara strategik berdasarkan kelayakan akademik, kemahiran khusus, keperluan operasi serta unit yang mengalami kekurangan anggota.

Tentera Darat Malaysia (TDM) juga merancang perolehan pelbagai aset baharu termasuk dalam bidang siber, komunikasi dan perisikan yang memerlukan anggota berkemahiran tinggi

Sementara itu, Sarawak merekodkan jumlah perajurit muda tertinggi bagi siri kali ini dengan 269 orang, diikuti Sabah seramai 184 orang, Kelantan (146), Kedah (137) dan Johor (114).

Perak pula mencatatkan 91 orang, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing 54 orang.

Selain itu, Selangor merekodkan 44 orang, Melaka (40), Pahang (36), Terengganu (25), Pulau Pinang (20), Perlis (17), Wilayah Persekutuan Putrajaya (4) dan Wilayah Persekutuan Labuan dua orang.

Perbarisan tamat latihan itu melibatkan dua kontinjen terdiri daripada 14 detasmen dengan setiap detasmen dianggotai 83 perajurit muda.

Dalam majlis sama, Muhammad Khairul Faris bin Latif, 20, dari Ampang, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik atas kecemerlangan dalam semua aspek latihan.

Anugerah Perajurit Muda Akademik Terbaik pula disandang Augustine Dris Anak Jabat, 23, dari Debak, Sarawak manakala Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik dimenangi Muhammad Adam Harris bin Rusli, 19, dari Kuantan, Pahang.

Bagi kategori Kawad Terbaik, anugerah diberikan kepada Muhammad Sufi bin Salim, 22, dari Kuala Terengganu, Terengganu sementara Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik disandang Veiter Mark Pindah, 23, dari Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam usaha mempertingkatkan kebajikan dan kualiti latihan, Tentera Darat memperuntukkan sekitar RM9.7 juta bagi kerja senggaraan dan penambahbaikan fasiliti PUSASDA tahun ini.

Peruntukan itu termasuk projek rintis melengkapkan penginapan rekrut dengan perabot dan perkakasan siap bina bagi memastikan kemudahan lebih selesa serta kondusif kepada pelatih.

Show More

Related Articles

Back to top button