Isu kesesakan di Pekan Lukut sedang diatasi

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Kerja Raya mengambil maklum akan isu kesesakan di Pekan Lukut terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.
Bagi penyuraian trafik di Pekan Lukut, Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan pelaksanaan Projek Membina Jambatan Baharu dan Jalan Tuju dari Kuala Lukut ke Chuah, Daerah Port Dickson, yang dapat menghubungkan trafik dari arah Bandar Port Dickson ke Chuah melalui Jalan Negeri iaitu Jalan Kampung Kuala Lukut N159, N186, N4 Jalan Tanah Merah – Chuah – Bukit Pelandok hingga Jalan Persekutuan FT005 Jalan Lubok Cina – Sepang tanpa melalui Pekan Lukut.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Jabatan Kerja Raya juga telah mengangkat permohonan bagi melaksanakan kajian di sepanjang laluan Persekutuan FT005 di bawah tajuk Kajian Trafik dan Impak Sosial di Laluan FT005 Jalan Lubok China – Sepang, Seksyen 323.50 hingga 326.80, Daerah Port Dickson di bawah peruntukan Kementerian Kerja Raya pada RMKe-13, Rolling Plan Pertama (RP1).
“Kerja-kerja akan dilaksanakan selepas peruntukan diluluskan.
“JKR Negeri Sembilan juga telah menerima peruntukan berjumlah RM1.2 juta daripada Kerajaan Pusat bagi pemasangan Lampu Isyarat Pintar di Laluan FT005, Jalan Lukut – Port Dickson.
“Pemasangan ini melibatkan empat persimpangan, iaitu bermula dari Persimpangan Susur Keluar Tol Lukut sehingga Persimpangan Pekan Lukut (berhampiran Eco Shop Lukut).
“Projek pemasangan ini bermula 30 Jun 2025 dan siap pada 19 Oktober 2025,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa (PH) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.
Choo bertanya, apakah status perancangan menaik taraf jalan Utama dari memasuki Lukut ke bandar Port Dickson yang sering mengalami kesesakan terutama pada hujung minggu dan musim cuti?



