LHDN umum penangguhan e-Invois bagi pendapatan bawah RM5 juta

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengumumkan bahawa pelaksanaan sistem e-Invois untuk pembayar cukai yang berpendapatan atau mempunyai jualan tahunan bawah RM500,000 ditangguhkan buat masa ini.
Bukan itu saja, bagi yang berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta, pelaksanaan e-Invois yang sepatutnya bermula tahun ini akan ditangguhkan ke 1 Januari 2026. Manakala mereka yang berpendapatan sehingga RM1 juta pula akan mula melaksanakannya pada 1 Julai 2026.
Menurut kenyataan LHDN, keputusan ini dibuat kerana kerajaan memahami komitmen yang dihadapi oleh golongan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang perlukan masa bersedia serta berdepan pelbagai cabaran.
Untuk rekod, pelaksanaan fasa ketiga e-Invois akan bermula pada 1 Julai 2025, membabitkan mereka yang mencatat jualan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta.
Fasa pelaksanaan e-Invois:
Fasa 3 (1 Julai 2025): Pendapatan > RM5 juta – RM25 juta
Fasa 4 (1 Januari 2026): Pendapatan > RM1 juta – RM5 juta
Fasa 5 (1 Julai 2026): Pendapatan sehingga RM1 juta
LHDN juga mengekalkan tempoh kelonggaran selama 6 bulan, di mana pembayar cukai boleh mengeluarkan e-Invois secara disatukan (consolidated invoice) termasuk untuk bil kendiri.
Tambahan pula, penjual dibenarkan untuk mengeluarkan satu invois disatukan atas permintaan pembeli — tak perlu keluarkan satu-satu invois bagi setiap transaksi.
LHDN turut menegaskan, tiada tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 sepanjang tempoh kelonggaran ini, asalkan pembayar cukai ikut garis panduan e-Invois disatukan.
Namun, bermula 1 Januari 2026, semua transaksi melebihi RM10,000 wajib guna e-Invois secara individu, dan penggunaan invois disatukan tidak lagi dibenarkan.
Sebarang persoalan? Boleh hubungi Meja Bantuan e-Invois LHDN:
03-8682 8000
MyInvois Live Chat
myinvois@hasil.gov.my
Borang maklum balas: feedback.myinvois.hasil.gov.my