Jaga adab di kubur, jangan sampai tersasar: MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan supaya menjaga adab bila berada di kawasan perkuburan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Mohd Na’im Mokhtar tegaskan, kubur bukan tempat untuk cari keberkatan atau kejar populariti.
“Orang ramai diingatkan supaya menziarahi kubur dengan tujuan yang betul seperti peringatan tentang kematian, untuk muhasabah diri dan mendoakan si mati, bukannya buat perkara yang boleh bawa kepada syirik atau khurafat.
“Saya dimaklumkan ada pihak yang ambil tanah dari kubur Almarhumah Nurly Shahirah Azman kononnya untuk dapatkan ‘berkat’.
“Perkara macam ni sangat mendukacitakan dan langsung tak selari dengan ajaran Islam.
“Kalau perbuatan seperti menyapu tanah kubur ke muka dilakukan dengan keyakinan ia beri keberkatan atau kuasa tertentu, itu sudah boleh termasuk dalam amalan yang langgar batas syariat,” kata Mohd Na’im.
Dalam kenyataan itu juga, beliau memuji sikap keluarga Almarhumah yang tegas tapi berhemah dalam menangani isu tersebut.
Katanya, usaha mereka bersama pihak berkuasa agama yang pantau kawasan perkuburan wajar dicontohi kerana membantu membanteras unsur khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam.
“Saya doakan roh Almarhumah Nurly Shahirah dicucuri rahmat Allah dan keluarga beliau terus tabah hadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan keluarga Allahyarham terpaksa memasang tali penghadang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, Terengganu selepas ada individu bertindak pelik dengan melakukan perbuatan khurafat di kubur tersebut.