Berita

Amaran keras kepada politikus dan penyebar fitnah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan keputusan muktamad yang membenarkan saman fitnah saya terhadap Kamarul Zaman Yusoff.

Kemenangan ini bukan sekadar kemenangan peribadi tetapi PEMBELAAN KEBENARAN bagi seluruh rakyat Malaysia yang menolak politik fitnah dan hasutan.

Fitnah ini telah merosakkan reputasi saya sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan warganegara yang taat Perlembagaan malah mencetuskan serangan peribadi termasuk ugutan dan penyebaran video palsu.

Nilai tuntutan akan ditetapkan berdasarkan kesan mendalam terhadap kerjaya, maruah keluarga dan trauma berpanjangan akibat serangan tidak berasas ini.

Mahkamah telah membenarkan tuntutan saya seperti berikut:

1. RM400,000 ganti rugi am (RM200,000 untuk satu publikasi);

2. Faedah lapan peratus dari tarikh pemfailan kes di mahkamah pada tahun 2022 hingga tarikh keputusan;

3. Faedah lima peratus dari tarikh keputusan kes hingga tarikh pembayaran;

4. Mahkamah juga telah membenarkan satu perintah injunksi yang Melarang Defendan dan/atau ejen-ejennya dari menerbitkan semula kata-kata fitnah sedemikian;

5. Kos sebanyak RM80,000.

Namun, Mahkamah mengambil maklum sikap defendan yang juga tidak hadir di Mahkamah pada hari ini.

Defendan bukan sahaja tidak pernah menyatakan kesediaan untuk meminta maaf malah dia tidak berada di mahkamah untuk mendengar keputusan.

Jadi tidak perlu pada peringkat ini, ia (permohonan maaf) adalah tidak ikhlas dan sia-sia.

Kepada mereka yang menjadikan agama sebagai senjata politik, kemenangan hari ini adalah amaran terakhir.

Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk menghancurkan maruah orang lain.

Laporan polis akan difailkan terhadap sebarang video, mesej atau kandungan digital yang menyalah tafsirkan keputusan mahkamah ini. Kebenaran akhirnya menang.

Marilah kita bersama-sama membina Malaysia yang lebih adil dan bersatu padu.

Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan
Ahli Parlimen Segambut

Show More

Related Articles

Back to top button