Naratif Kito

Bukan ubah sistem pendidikan, tapi ubah cara berfikir

KALI ini kita perlu realistik dalam bercakap soal pendidikan.

Bagi sebuah negara, sektor pendidikan adalah satu pelaburan jangka panjang yang sebahagian pelaburan tersebut adalah perbelanjaan hangus.

Begitu juga sebuah negeri.

Bagi sebuah keluarga, ketua keluarga membelanjakan duit yang banyak untuk pendidikan anak-anak berdasarkan status kewangan mereka.

Jika mereka kaya, maka banyak yang mereka belanjakan.

Jika mereka B40, mereka mungkin bergelut untuk menyediakan yuran dan pakaian seragam anak-anak.

Ada yang bertanya, mengapa sistem pendidikan di kebanyakkan negara barat percuma dan tidak ada pakaian seragam yang membebankan ibubapa?

Mengapa ibubapa mereka tidak mengeluh setiap kali buka sekolah di awal tahun?

Kadang-kadang yang bertanya pun tidak melihat kiri dan kanan.

Inikan Malaysia. Bukan United Kingdom.

Ingatkah kita dahulu, Menteri Pendidikan kita umum pakai kasut hitam untuk mudahkan pelajar pun disindir lumat.

Itulah tahap pemikiran sebahagian rakyat Malaysia.

Sebab itu kita perlu susun kembali “cara fikir” generasi anak-anak kita hari ini bagi membuat reformasi yang paling asas iaitu reformasi cara berfikir.

Anak-anak kita akan ikut sistem pendidikan yang ditetapkan.

Tetapi peranan guru-gurulah yang akan mengubah dan membentuk cara anak-anak kita berfikir.

Ini adalah masalah berantai yang setiap tahun ramai yang tidak mahu sentuh secara realiti.

Kebanyakan rakyat suka kepada isu-isu remeh yang kadang-kadang merendahkan mentaliti mereka.

Lebih memalukan, ada juga guru-guru yang terlibat dalam budaya ini.

Isu kantin buka atau tidak semasa Ramadan, harga makanan di kantin, bilangan pelajar yang dapat RMT, tandas yang dibaiki oleh PMX dan banyak lagi yang terlalu remeh untuk dibincangkan.

Sedangkan kita perlu berbicara tentang kualiti guru dan proses pembelajaran anak-anak dalam kelas yang akan membentuk cara fikir mereka.

Sebab itu kita selalu dengar cakap-cakap orang kita yang menggambarkan cara mereka berfikir.

Contohnya, “Malaysia ini tanah Melayu dan orang Melayu kan yang berkuasa”.

“Takpa, nanti dah habis belajar kerja kerajaan”.

“Biar kita susah, jangan anak- anak kita yang susah”.

Jika anda mengangguk sambil membaca ayat-ayat ini, maknanya ia sudah menjadi taboo dalam masyarakat kita terutamanya Melayu.

Kunci mengubah semua ini adalah dengan mengubah cara berfikir.

Orang Jepun mengubah cara berfikir sebagai penjajah selepas turunnya bom atom.

Akhirnya mereka menjadi negara maju di rantau Asia.

Orang Negeri Sembilan sudah boleh mula mengubah cara berfikir, dari selalu bergantung kepada orang lain kepada berdikari dan mencipta kejayaan sendiri.

Ketua Editor
Ahmad Shahir Mohd Shah
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button