Negeri Sembilan terima peruntukan RM10 juta daripada MOTAC

SEREMBAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui penyediaan peruntukan di bawah Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) telah menyampaikan peruntukan berjumlah RM10,140,000.00 bagi tahun 2025 kepada Kerajaan Negeri Sembilan.
Ini merupakan satu komitmen holistik dan strategik Kerajaan Persekutuan dalam memastikan warisan, pelancongan serta identiti budaya Negeri Sembilan sentiasa dipelihara, dimartabatkan dan dimajukan secara menyeluruh.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sebanyak 18 projek pelancongan dan pemuliharaan telah diluluskan di bawah PPUN 2025, merangkumi pelbagai daerah termasuk Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jelebu dan Tampin.
“Keseluruhan projek ini akan memberi nafas baharu kepada destinasi pelancongan sedia ada dan memperkukuh asas kepada kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, yang bakal menjelma buat kali pertama selepas lebih dua dekad,” ujar Aminuddin.
Menurut Aminuddin antara projek yang amat signifikan adalah:
RM1.2 juta bagi pemuliharaan dan pemindahan Masjid Lama Parit Istana ke kawasan Masjid Tanjung Beringin — simbol pemeliharaan sejarah Islam dan seni bina tradisional Melayu.
RM800,000 bagi naik taraf Masjid Tanjung Beringin, menjadikan ia sebuah pusat warisan dan ibadah yang lebih inklusif serta kondusif untuk pelancongan berteraskan warisan.
Penambahbaikan pencahayaan dan landskap di Menara Jam Bandar Port Dickson, serta penyelenggaraan mercu tanda pelancongan di Bulatan Sunggala, Simpang Lukut-Sepang dan Pintu Gerbang Port Dickson — yang semuanya adalah identiti visual penting kepada pelawat.
Pembangunan ekopelancongan di Taman Eko Rimba Gunung Datuk, Taman Negeri Kenaboi, serta Taman Eko Rimba Ulu Bendul.
RM500,000 untuk menaik taraf Jeti Pulau Burung dan Watch Tower (Fasa 2) yang akan membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan maritim dan konservasi biodiversiti.
“Berdasarkan data survei penginapan yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia, Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan ketara dalam kemasukan pelancong antarabangsa pada tahun 2024, dengan jumlah kehadiran seramai 0.46 juta orang berbanding 0.34 juta pada tahun 2023 iaitu lonjakan sebanyak 35.1 peratus.
“Peningkatan ini sekali gus meletakkan Negeri Sembilan di kedudukan keenam daripada 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan, menjadikannya antara destinasi pelancongan yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.
“Pelancong utama terdiri daripada warga Singapura, Indonesia, China, Thailand, dan Brunei.
Aminuddin berkata, secara keseluruhan, jumlah kehadiran pelancong di Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan yang positif dengan tarikan pelancongan merangkumi pelbagai segmen seperti eko pelancongan, warisan budaya dan gastronomi.
Setiap daerah menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negeri, bukan sahaja melalui pengunjung tempatan malah turut menarik kehadiran pelancong asing.
Ini membuktikan potensi besar Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pelancong dari dalam dan luar negara terutama semasa penganjuran Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Sebagai langkah strategik memperkukuh momentum ini, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026) — satu kempen besar-besaran yang bakal mempamerkan kekayaan budaya, keindahan semula jadi serta keunikan adat perpatih yang tidak terdapat di mana-mana negeri lain.
“Bagi menjayakan TMNS 2026, aspek infrastruktur pelancongan, pemuliharaan warisan serta inovasi digital akan terus diperkasa melalui pendekatan bersepadu antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Segala peruntukan yang disalurkan ini haruslah diurus dengan penuh integriti, amanah dan kecekapan.
“Ia bukan hanya untuk membina fizikal struktur semata-mata, tetapi membina maruah, jati diri dan masa depan sektor pelancongan Negeri Sembilan.
“Ini untuk memastikan bahawa Negeri Sembilan benar-benar bersedia untuk menjadi tumpuan dunia menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, serta menjadi negeri contoh dalam pelestarian warisan, kebudayaan dan pembangunan pelancongan yang berdaya saing,” jelas beliau.
Majlis penyerahan peruntukan ini berlangsung di Wisma Negeri, Seremban.