BeritaMenarik

Projek Padi Pulut bakal kurangkan kebergantungan import

LANGKAWI: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Dato’ Seri Mohamad Sabu telah melancarkan Program Gelombang Padi Langkawi: Projek Padi Pulut Langkawi SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di bawah seliaan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Bukit Hantu, Langkawi.

Mohamad berkata, projek ini bakal membantu meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara sekali gus mengurangkan kebergantungan import berkaitan hasil produk beras pulut.

“Permintaan terhadap pulut dalam negara meningkat saban tahun sehinggakan kerajaan Malaysia perlu berbelanja sebanyak RM10 juta setahun untuk membeli beras pulut dari luar negara seperti Thailand dan Vietnam.

“Bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan negara, KPKM bersedia untuk mempromosi dan mengangkat kelestarian amalan pertanian terbaik dalam penghasilan padi pulut bagi menjamin bekalan makanan negara melalui Program Padi Pulut SMART SBB Ala Sekinchan di bawah seliaan BERNAS.

“Saya mengalu-alukan kehadiran lebih banyak pemain industri, terutama syarikat peneraju di bawah program SMART SBB Ala Sekinchan untuk tampil dengan idea dan inovasi baharu supaya program tersebut dapat dibangunkan bukan hanya untuk padi, tetapi juga tanaman lain,” jelas Mohamad.

Menurut Mohamad, sebagai sokongan projek, kerajaan akan membina sebuah kilang padi pertama di Langkawi dengan anggaran kos sebanyak RM8.9 juta di Tapak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Kampung Bukit Hantu Mukim Ulu Melaka.

“Kilang padi ini dijangka siap pada tahun 2025 dan mampu untuk memproses semua jenis padi yang ditanam di Langkawi.

“Kilang padi ini berkonsepkan ‘glass-house’ dan apabila siap nanti, ia diyakini mampu menarik pelancong untuk mempelajari dan melihat sendiri bagaimana padi pulut diproses sehingga menjadi beras,” ujar Mohamad.

*KPKM – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Show More

Related Articles

Back to top button